Siapa yang boleh menasihati PRESIDEN UMNO?

 LETAKLAH NEGARAWAN-NEGARAWAN KITA DI TEMPATNYA

PADA 10 September 2014 saya ada menulis dalam kolum Cuit Utusan Malaysia  mengenai satu cadangan penubuhan apa yang dikenali sebagai Majlis Negarawan Kebangsaan. Tulisan itu bertajuk Suara hati Majlis Negarawan.

Mungkin namanya agaknya berat dan bersifat nasional. Namun ia hanyalah sebuah majlis yang dicadang diletak di atas kepala Majlis Tertinggi UMNO, bertindak sebagai penasihat kepada rumah kuasa itu.

Kecelaruan yang berlaku sekarang mungkin disebabkan tiada satu mekanisme pengimbang untuk menasihati MT sekiranya mereka ada melakukan kesilapan atau kekhilafan atau terlanjur perkataan atau gagal membendung sesuatu krisis.

Persoalan yang bermain di fikiran kita sekarang ialah: Masihkah parti (UMNO) menguasai kerajaan? Jika masih, bermakna di dalam parti mesti ada satu badan penasihat ulung yang juga menjadi check and balance kepada MT.

Siapa yang boleh menasihati Presiden, umpamanya? Adakah anggota-anggotanya sendiri? Apa kata jika sistem untuk menasihati itu gagal, siapa yang mahu dirujuk?

Bagaimanapun dengan fungsi negarawan pula, iaitu:  Mantan-mantan Presiden merangkap mantan-mantan PM yang masih hidup. Mantan-mantan TPM. Bekas-bekas Setiausaha Agung yang masih hidup. Bekas-bekas anggota MT kanan dan senior yang masih berfungsi malah bekas-bekas menteri di kalangan anggota-anggota UMNO sendiri?

Janganlah biarkan mereka itu menjerit-jerit di luar atau di alam maya kerana menegur kepemimpinan parti dan negara.

Perlu diingat mereka di atas itu kini sudah mula bergerak di atas platform NGO jika mahu meluahkan apa yang tersurat dan tersirat. Ataupun menubuhkan gerakan silo atau kumpulan-kumpulan kecil untuk membincangkan sesuatu isu negara, parti, bangsa dan agama dalam landasan mereka sendiri.

Perlu diingat NGO di luar sana bergerak dalam pelbagai corak dan jenis dan mempunyai matlamat mereka tersendiri.

Mengapa di Singapura misalnya Lee Kuan Yew diletakkan sebagai Menteri Mentor sehingga dia mati? Mengapa tidak kita di sini meletakkan mereka di atas MT, umpamanya?

Letaklah para statesmen atau negarawan itu di tempat yang betul. Dengarlah nasihat mereka walaupun pahit sekalipun. Biar mereka menjadi anggota-anggota the council of elders atau majlis syura.

Biarlah senario yang berlaku sekarang menjadi pengajaran mahabesar untuk orang Melayu, khususnya UMNO.

Inilah masanya untuk UMNO melakukan transformasi secara holistik kepada parti itu.

Saya yang menemui Tan Sri Pengerusi Tetap UMNO Badruddin Amiruldin baru-baru ini diberitahu bahawa beliau juga sedang memikirkan secara serius perkara itu.

Ikutilah sorotan semula apa yang telah saya tulis pada tarikh 10 September 2014 lalu.

****

Cadangan Majlis Negarawan Kebangsaan

“SIAPA DIA…!” kata Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz apabila merujuk serangan Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap kepemimpinan negara.

Saya mengikuti video Nazri itu yang tersebar di alam maya sekarang ini. Ia sudah menjadi viral.

Ia viral atau bercambah kerana sama ada orang mahu melihat perangai Nazri atau pun sebaliknya. Itu saya tidak tahulah.

Tapi bagi saya, respons Nazri agak kasar bunyinya.

Anggaplah jika bapa kita memberi nasihat kepada kita – walau secara garang sekali pun – kita patut berdiam diri. Itulah resam adat orang kita. Jika tidak orang akan kata kurang ajar.

Apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak apabila dia dikritik (bukan dise­rang) oleh Tun, cukup beradab sekali.

Malah dalam satu majlis, PM cuma berkata kepada para wartawan; “Itu isu dalaman parti dan biar UMNO yang selesaikan.”

Itu tandanya dia menghormati orang tua.

Itulah pun cara kita apabila dimarahi atau ditegur oleh bapa, kita akan senyap. Walaupun kita tahu kritikan itu tidak betul dan boleh diperbahaskan. Jika nak mengadu kita bersuara kat ibu.

Sebenarnya hati orang tua cukup mudah terasa. Lebih-lebih lagi jika usia sudah lanjut.

Jika mereka memperkatakan sesuatu, ia datang dari hati dan akal yang luhur. Dalam usia 89 tahun apa lagi yang Tun mahu? Janganlah ada pula pihak-pihak yang mahu menjadi nasi tambah.

Ramai veteran UMNO akhirnya menyepikan diri setelah tidak aktif sebagai pemimpin parti atau pun sebagai pe­mimpin negara. Ada juga yang membawa diri dan berjauh hati. Kerana merasa mereka disisihkan.

Ada juga yang menongkah arus dan berpatah arang.

Mereka jangan dibiarkan sepi. Ajaklah berunding dengan mereka. Dengarlah kata-kata mereka.

Strukturkan mereka dalam Majlis Negarawan UMNO, yang berada di atas Majlis Tertinggi (MT). Atau namakannya Majlis Negarawan Kebangsaan.

Majlis ini boleh menjadi penasihat di masa yang amat diperlukan. Dan dalam keadaan tertentu, mereka boleh menjadi kata pemutus.

Biar mereka berada di strata itu sehingga ke akhir hayat, sama seperti sultan-sultan dalam Majlis Raja-Raja.

UMNO mempunyai ramai negarawan yang boleh diletakkan dalam majlis ini. Kita mempunyai dua mantan PM yang masih ada.

Jangan persia-siakan mereka. Jangan juga mempersia-siakan mantan TPM dan tokoh-tokoh negara yang lain.

Malah majlis ini juga boleh dianggotai oleh negarawan terdiri daripada MCA, MIC, Gerakan dan komponen, mahupun pembangkang yang lain.

Ingatlah semasa berlaku kegelisahan politik, kata-kata hikmah mereka mungkin menjangkaui akal dan pertimbangan kita sendiri.

Janganlah disisihkan mereka itu, apatahlah lagi menyanggah cakap mereka secara terbuka.

Saya yang hina ini cuma boleh cadangkan. Terpulanglah…

Advertisements